DITERBITKAN PADA 20 JUN 2022
Walaupun bab kematian ini suatu yang pasti, namun insiden kebakaran sering berlaku disebabkan oleh kecuaian manusia atau tidak adanya pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya-bahaya kebakaran. Saban ini, kita selalu mendengar ada sahaja berita mengenai kebakaran tidak kira rumah, kilang, bangunan pejabat mahu pun sekolah.
Dilaporkan “berlaku kebakaran” di Projek Pembinaan Menara K. Loceng kecemasan dibunyikan menandakan pekerja dan kakitangan berhenti dan keluar ke tempat berkumpul yang ditetapkan.
Orang ramai di luar kawasan tapak pembinaan yang sedang berjalan berhenti sebentar dan sesetengahnya dilihat mengambil gambar. Jalan tiba-tiba menjadi sesak dengan kenderaan berhenti di tepi jalanraya kerana ingin menyaksikan “kebakaran” di Menara berkenaan.
Lima buah Ambulan dan tiga buah kereta BOMBA dengan siren yang cukup kuat dilihat masuk ke kawasan tapak pembinaan.
Namun terdapat pekerja-pekerja dan kakitangan seperti berdegil dan tidak betul-betul mendengar arahan Pegawai Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KKPA) untuk bergegas keluar.
Sebaliknya mereka berjalan kaki ‘bersahaja’ keluar ke tempat berkumpul dan ada yang menggunakan lif pekerja untuk turun dari tingkat atas. Kedengaran bingit kru KKPA tegas menyebut “Cepatlah, Cepatlah” menerusi pembesar suara.
Akhirnya, setelah masa “tamat”, Pegawai KKPA, Pegawai Penilaian Risiko, Jurutera Kanan dan BOMBA telah masuk ke dalam Menara untuk memeriksa jika terdapat pekerja yang masih bekerja walaupun berlaku “kebakaran”.
Setelah 1 jam memeriksa bangunan, merekodkan kenyataan dan “pembersihan”, Pegawai KKPA telah mengisytiharkan Menara itu selamat untuk dimasuki dan operasi bermula kembali seperti biasa.
Ini merupakan senario benar semasa latihan dan simulasi kecemasan kebakaran. (Fire Drill) Penilaian akhir telah menghasilkan keputusan berikut :
Berdasarkan carta di atas, dari 7 orang yang ‘maut‘ 2 orang darinya adalah Penyelia, 2 darinya adalah Operator Kren Menara, selebihnya adalah pekerja.
Dari 20 orang yang ‘cedera‘, 3 darinya adalah Pembantu Penyelia KKPA sendiri, Pentadbir Pejabat Tapak dan Kerani Stor. Selebihnya adalah pekerja. Tiada orang awam dilaporkan ‘mati‘ atau ‘cedera‘.
Sebanyak kurang lebih 70% dari total aset yang berjaya ‘diselamatkan‘ ; kebanyakannya jentera dan peralatan yang berada di stor luar tempat pembinaan; manakala yang ‘hangus‘ adalah perabot dan komputer.
Struktur Menara yang masih dalam pembinaan masih utuh. Tiada laporan kerosakan kecuali beberapa tingkap ‘pecah’.
Api berjaya dikawal dalam tempoh 15 minit oleh pihak BOMBA ‘Punca‘ kebakaran ialah disebabkan aktiviti api kimpalan yang
tidak terkawal.
Hasil Penilaian : GAGAL dan terpaksa melakukan dril di lain masa.
Mari saya terangkan melalui 2 punca kegagalan:
Hasil siasatan menunjukkan dokumen seperti Pelan Kualiti, Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar ada disimpan di Pejabak Tapak.
Walaupun antara isi kandungannya menyebut mengenai “Pencegahan Kebakaran”, tetapi topik “Dril Kebakaran” hanya disebut secara umum.
Tidak ada penerangan mengenai “Tindakan di Waktu Kecemasan”. Maka dokumen berkenaan disyorkan untuk disemak semula. Notis mengenai Dril Kebakaran hanya di e-melkan sahaja dan tidak dicetak untuk dihantar atau disebarkan.
Tempoh Notis juga hanya seminggu sebelum Dril Kebakaran dilakukan. Ini menyebabkan ramai yang tidak tahu mengenai dril berkenaan. Alasan notis yang pendek ialah kerana hendak menguji reaksi dan tindakan apabila berlaku bencana.
Sebenarnya sebarang dril dan latihan kecemasan mestilah diberitahu dengan notis yang secukupnya (terbaik : sebulan sebelum latihan/simulasi/dril), dirancang dalam mesyuarat dan memastikan semua kakitangan/pekerja diberitahu mengenainya menerusi papan-papan notis, memo, e-mail, laman web dan sebagainya.
Hasil siasatan juga menunjukkan bahawa kematian dan kecederaan telah melibatkan kakitangan penyeliaan dan KKPA. “Kesilapan mereka” telah menyebabkan ramai pekerja “maut” dan “cedera parah”.
Di sini, persoalan boleh dibangkitkan mengenai kredibiliti penyelia-penyelia tapak dan pihak KKPA sendiri dari aspek keberkesananan latihan dan kefahaman.
Siasatan mendapati Penyelia-Penyelia dan KKPA ‘mengambil mudah’ latihan berkenaan dengan berkata “ini hanya latihan dan bukan kebakaran betul”. Akibat dari sikap acuh tidak acuh mereka, maka ramai pekerja menjadi ‘mangsa’ kerana berjalan sambil lewa keluar dari Menara ke tempat berkumpul.
Operator kren menara sepatutnya diberitahu menerusi walkie-talkie atau telefon bimbit mengarahkan dia meninggalkan kren. Tetapi operator juga tidak mengetahui bahawa terdapat dril kebakaran ketika itu. Dia hanya mengetahuinya setelah “kebakaran sedang berlaku” dan dia juga tersenarai sebagai “maut”.
Walaubagaimanapun, input dari BOMBA menunjukkan bahawa terdapat dua amalan yang baik yang dipaparkan oleh organisasi berkenaan iaitu yang pertama, pili air kebakaran berfungsi dengan baik semasa kecemasan walaupun projek menara masih lagi dalam pembinaan dan kedua, pemadam api telah digunakan oleh anggota KKPA dan beberapa orang kakitangan sementara menanti “BOMBA datang”.
Jika kita teliti kembali, Insiden kebakaran merupakan musibah yang tidak boleh dijangka bila masanya ia akan berlaku dan satu perkara yang tidak pernah kita ingini untuk ianya terjadi. Oleh itu, langkah – langkah perlindungan, pencegahan dan yang paling penting kesedaran perlu dilakukan bermula dari peringkat awal supaya dapat mengurangkan risiko kebakaran.