Blog Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Selamatkah Tempat Kerja Anda ? Ahh Tak Apalah - Minda Seorang Penakut dan Pemalas

DITERBITKAN PADA 16 MEI 2022

Kongsi artikel ini

Orang kita ni memang baik-baik. Budaya halal-berhalal, ahh tak apalah, dan boleh ejas ni ni mungkin baik dalam hal-hal seharian macam hutang-piutang, salah-silap yang lepas dan bermacam lagi. Tapi apabila melibatkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ia adalah buruk dan tidak patut diamalkan. Dalam penulisan kali ini saya sajikan beberapa mentaliti pekerja yang sering kita nampak seputar budaya halal-berhalal  atau ahh tak apalah.

Sumber gambar: https://pixabay.com.

" Aku ternampak tempoh penyelenggaraan pemadam api sudah hampir tiba. "

Ah, tidak mengapa, lagipun – masih ada masa. Kalau BOMBA tidak datang, tidak perlu dihubungi. Lagipun, pemadam api tidak pernah digunakan pun. Kenapa perlu penyelenggaraan? Ianya tidak rosak pun… 

" Ruang bekerja sangat sempit di antara bangunan dan kawasan eskavasi yang dalam, terdapat jengkaut diletakkan di tengahtengah ruang kerja berkenaan. "

Ah, boleh menyelit masuk walaupun sempit. Nanti operator marah pula kalau suruh parkir tempat lain. Aku hanya buruh sahaja. Operator lagi tinggi pangkatnya. Mana boleh disuruh-suruh?

" Aku melihat tempat kerjaku tidak tersusun dan kotor. "

Ah, tidak mengapa itu kerja tukang sapu.

" Peralatan Perlindungan Diri perlu dipakai apabila memasuki lapangan atau tapak. "

Ah, tidak perlu lagi. Sebab ini kawasan lapang – bukan dalam bangunan, kenapa perlu pakai topi keselamatan? Bukan ada batu yang akan jatuh atas kepala pun!

" Cherry Picker boleh ‘ditumpangi’ untuk naik ke tempat tinggi dengan pantas menggunakan ruang angkutannya."

Ah, susahlah nak panjat perancah, tangga banyak sangat, lagipun tangga belum dipasang dari tingkat 1 ke tingkat 2.

" Terdapat himpunan batang besi pada akses lantai, koridor dan tangga. "

Ah, Si Mamat tu tinggalkan kejap, nanti dia angkutlah, kita lalu ajelah celah-celah ni.

" Tingkap pada tingkat 20 belum dicuci. "

Ah, tingkat 20 sahaja belum. Naik Gondola lambatlah dan macam-macam kerenah – kena pakai cangkuk, lagipun aku takut, tinggi sangat. Baik aku masuk ke dalam bangunan dan naik ke tingkat 20 dengan lif penumpang dan cuci tingkap luar dari dalam. Paut pada birai tingkap pon ok je, tak pernah jatuh pun.

" Parit baru digali, hujan renyai-renyai, banyak lopak air di sana sini. "

Ah, tunggulah panas sedikit, nanti keringlah lopak tu, baru kita buat kerja.

" Ribut petir dilaporkan berlaku. "

Ah, aku baru sahaja naik Kren Menara, malaslah nak turun. Penyelia tak cakap apapun. Aku rehat sahajalah dalam kren. Nanti reda sikit cuaca tu, aku teruskan kerja.

" Lampu tidak cukup terang untuk pekerja syif malam. "

Ah, aku dah hari-hari buat kerja ni. Dah biasa kerja dalam gelap. Lagipun bos komplen sebab nak jimatkan minyak janakuasa di waktu malam.

" Terdapat beban yang banyak di atas pelantar kerja sementara. "

Ah, pelantar ni kuat ni, mahal ni – boleh tahan beban.

" Penutup manhole - hilang entah ke mana. "

Ah, biasalah, pencuri curi penutup tu sebab besi mahal. Aku jaga-jagalah masa berjalan kawasan tu. Company duit banyak, nanti mereka belilah penutup baru.

" Bekerja di kawasan sekitar hentakan piling. "

Ah, nak kena pakai penutup telinga ke? Aku dah biasa bunyi bising ni. Lagipun aku bukan operator jentera piling.

Pengajaran

Orang tua-tua pernah cakap, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Banyak betulnya pesanan orang dulu-dulu. Dalam apa jua perkara pun kalau di-habit-kan memang lama-lama akan nampak lah hasilnya. Kalau menabung dapatlah makan hasil tabungan di kemudian hari. 

Sama juga untuk habit mentaliti dan budaya kerja tidak selamat. Tak lama nanti boleh juga ‘merasa’ hasilnya. 

Boleh rujuk Bahagian 7, Klaus 24 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 & Panduan KKP Awam Tapak Pembinaan.

Wallahua’lam.