Blog Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Tanam Azam Untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

DITERBITKAN PADA 24 MAC 2022

Kongsi artikel ini

Membuat keputusan untuk kekal selamat dari aspek manusia, peralatan, harta benda dan alam sekitar bagi mana-mana industri atau organisasi tidak bermakna semua kejadian melibatkan kemalangan atau kerosakan akan berakhir dengan segera.

Sumber gambar: https://pixabay.com

Keputusan yang dibuat adalah sangat baik dan amat terpuji namun perjalanan sebenar belum bermula kerana ini hanyalah niat dan azam untuk merencana perancangan yang lebih awal.

Memilih untuk melakukan sesuatu perjalanan memerlukan pembelajaran dan pengetahuan sepanjang jalan dan ia menuntut tenaga yang banyak, masa yang tidak berbelah bahagi dan sudah tentu sejumlah wang ringgit.

Keselamatan adalah teras kepada segala perkara yang kita lakukan sebagai sebuah organisasi. Ia perlu wujud dalam semua pelan perancangan pekerjaan. Ia seharusnya bermula pada hari pertama memulakan sesuatu pekerjaan dan menjadi keutamaan pada setiap detik selepasnya.

Ianya perlu dirancang dan diperkenalkan melalui pelbagai cara dan usaha agar budaya keselamatan kita dapat diterima oleh setiap lapisan pekerja. Hal ini adalah sangat mencabar dan unik dalam industri, tetapi kita perlu memberi komitmen bahawa ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan bagi memastikan keselamatan setiap pekerja.

Di setiap langkah ada Tujuan.
Di setiap nafas ada Kehidupan.
Di setiap harapan ada Kepastian.
Di setiap doa pasti ada Jawapan.

Oleh itu, walaupun mencapai perubahan yang dikehendaki mencabar, namun kita harus percaya bahawa tiada cabaran yang tidak dapat diatasi. Kita percaya peralihan budaya memerlukan kepimpinan untuk menerima perubahan yang diperlukan itu terlebih dahulu sebelum diterjemahkan kepada peringkat bawahan seterusnya.

Inilah yang kita katakan sebagai kepimpinan melalui tauladan. Untuk menjadi peneraju (majikan) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, semua lapisan pengurusan haruslah bergerak di dalam nada yang progresif dan harmoni di dalam isu ini. Lama- kelamaan ia akan jadi budaya baru seterusnya meningkat ke arah menjadi bertaraf dunia.

Jika kita tidak mempunyai budaya itu, kita tidak akan mencapai tahap bertaraf dunia dalam keselamatan. Bukan itu sahaja, kita juga perlu menyediakan sumber-sumber yang betul dan pembiayaan yang mencukupi dalam aspek sumber manusia dan latihan. Kita tidak boleh hanya bercakap kosong mengenainya tanpa ada tindakan lanjutan.

Pekerja diberi kuasa untuk bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sendiri dan juga rakan sekerja mereka. Pekerja tahu bahawa mereka boleh menolak kerja yang dinilai tidak selamat atau di luar pengetahuan mereka akan risiko dan hazad yang terkandung di dalam pelaksanaanya. Di pihak majikan, perlulah duduk dan berbincang sekritikal yang mungkin.

Dalam hal ini, perbincangan perlulah dilakukan bagi mencari jalan untuk mengelakkan bahaya. 

Pengajaran

Mengambil tanggungjawab untuk memastikan pengurusan keselamatan kerja setaraf dengan aspek pengurusan yang lain adalah sebuah nilai kepimpinan yang berintegriti bagi sesebuah syarikat yang mempunyai pelbagai operasi perniagaan. Sesungguhnya, keselamatan adalah nilai teras. Ia memerlukan komitmen peribadi di semua peringkat dalam organisasi.

Tidak kiralah bagaimana anda mendapat  role sebagai Safety & Health personnel (sukarela/paksarela) namun tanggungjawab perlulah dilaksanakan dengan penuh keazaman yang tinggi dan tekad yang dibulatkan kerana percayalah bahawasanya anda sedang menjaga nyawa-nyawa manusia yang bernama pekerja. Tapi dalam menjaga nyawa orang lain, nyawa sendiri jangan lupa ya

Wallahua’lam